KeredhaanMu Inteam Versi ISIUKM

Alhamdulillah..

Syukur ke hadratnya kami diberikan peluang untuk menerbitkan satu video klip nasyid ini. Idea ini diilhamkan oleh Allah tika saya bermusafir di Sungai Lembing. Keseorangan sambil menonton televisyen pada malam itu menyebabkan rasa sebak mengingatkan diri ini gagal menjadi hamba yang baik, gagal menjadi sahabat yang baik. Merasakan peluang di bulan Ramadhan ini adalah medium terbaik untuk berdakwah, mengajak kawan-kawan memohon keampunan, plot cerita disusun di minda.

Apabila pulang semula ke UKM, barulah ia diterjemahkan ke bentuk tulisan dengan bantuan Hazeni yang merupakan ahli team video ISIUKM yang sangat bersemangat. Semangatnya berkobar-kobar buatkan saya mahu ia ditontoni secepat mungkin. Saya mensasarkan ia ditayang secara langsung pada malam iftar jamaie kelab geologi bersama anak yatim.

Perkara paling mencabar dalam pembikinan video ini adalah penyusunan video. 12 jam kalau tidak silap saya, saya duduk khusyuk di depan laptop menyiapkan video ini.

video ini mengandungi 3 jalan cerita. Namun ada satu jalan cerita yang tiada kesudahan. Akibat masalah teknikal. juga saya tidak tahu kesudahannya bagaimana. mungkin ‘2 sahabat’ itu kembali berbaik? insyaALLAH.. mari kita sama-sama doakan..

Setiap derap langkah, setiap hela nafas, setiap gerak hati, biarlah ia semata-mata demi keredhaanNya…

Advertisements
Published in: on August 24, 2010 at 5:04 pm  Comments (1)  

Ramadhan Semarakkan Cinta Hamba

Kedinginan malam pertama Ramadhan menggigit kulit terus menusuk ke tulang. Itulah ketenangan dan kedamaian yang dirasai malam tadi. Umat Islam berpusu-pusu ke masjid menunaikan solat terawih pada malam pertama. Ramai. Moga jumlahnya kekal sehingga ke akhir ramadhan.

Alhamdulillah, kita masih lagi dapat bertemu Ramadhan pada tahun ini. Masih lagi diberi peluang untuk melipat gandakan pahala. Masih lagi diberi peluang untuk menyucikan diri yang hina dan kotor sarat dengan debu dosa.

“Bulan Ramadan itulah bulan di dalamnya diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia, menjadi keterangan-keterangan dari petunjuk itu sehingga membezakan antara yang hak dengan yang batil.  Maka barangsiapa antara kamu melihat bulan itu hendaklah ia berpuasa”. [Al-Baqarah, 2:185]

Ketahuilah saudaraku, Ramadhan bakal melahirkan seorang muslim menjadi lebih bertaqwa, melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan dan cabaran-cabaran hidup; melahirkan manusia yang amanah, menyemarakkan cinta hamba kepada pencipta dan pelbagai lagi.

Tapi semua ini tidak akan berjaya jika diri sendiri tidak mahu mentarbiyyah atau mendidik diri sedangkan Allah sudah limpahkan peluang itu. Dalam kita berpuasa kita harus mengawal bukan saja  memakan, tapi juga mengawal hati dan tingkah laku. Sebab itu Rasulullah s.a.w berpesan: “Puasa itu sebagai perisai dan apabila seseorang itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor, jangan menjerit-jerit serta jangan berlaku bodoh.”

Berazamlah dalam diri, bermatlamatkan keredhaan Allah, jadikan Ramadhan medan untuk merubah diri menjadi lebih baik. Letakkan TARGET pada Ramadhan ini untuk berusaha ke arah itu malah lebih dari itu. Justeru itu, hayatilah pesanan Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadisnya yang bermaksud: “Ramai di kalangan umatku yang berpuasa tetapi tiada mendapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.”

Bagi para aktivis pula, bulan Ramadhan bukan bulan untuk bermalas-malasan, seharusnya lebih bersemangat. Ambillah ibrah dari peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di bulan penuh barakah ini.

Malulah kita dengan tentera-tentera Badar yang hanya 313 orang menentang 1000 orang quraisy Mekkah. Medan kita di kampus apa pula? Para da’i harus saling berganding bahu tak kira dari jemaah mana sekalipun, sama-sama mentarbiyyah mad’u yang dahagakan pengisian jiwa. Tidaklah hanya skop TARBIYYAH sahaja. 2 lagi skop penting iaitu DAKWAH dan SIASAH juga harus diambil kira.

Semua ini tidak akan dilaksanakan seandainya perasaan cinta kita sebagai seorang hamba kepada sang Pencipta malap. Ayuh jadikan Ramadhan ini sebagai penyemarak cinta kita padaNya! Tidak dapat ditahan lagi perasaan ini hanya padaNya, I LOVE YOU ALLAH!!!!

Published in: on August 11, 2010 at 6:08 pm  Comments (1)