Jejak ke Utara

If you ask me about love

my answer would be

it’s all about Allah, the pure love

Sungguh Allah lah pencipta alam yang indah ini menyebabkan aku semakin jatuh cinta kepadaNYA setelah mengikuti siri kerjalapangan. Ketika tinta ini ditulis, telah hampir seminggu kerjalapangan itu tamat. Kemudian, aku disibukkan dengan kerja-kerja yang tertangguh untuk menghadapi semester hadapan. Namun desakan hati untuk memberi sesuatu kepada pembaca blog walaupun hanya sedikit cuma membuatkan artikel ini dipos. Sekurang-kurangnya tidaklah bersawang sangat blog ini kan? =)

The taller the tree is,

the deeper the roots are

~di kedah~

Kembara ke barat laut semenanjung bermula seawal jam 8.00 pagi 14 November 2009 ke Alor Setar menaiki 3 buah bas. Hati ini resah memikirkan bagaimanakah keadaan sahabat-sahabatku yang bertungkus lumus menguruskan KIBSI ’09. Maaf sahabatku, kembara 22 lokaliti ini memerlukan perhatian yang lebih. Maaf juga kerana terlalu sedikit kurasa sumbanganku kepada antum semua untuk memudahkan gerak kerja agama yang dijulang ini.

Seperti entri mengenai kerjalapangan sebelum ini, saya tidak menulis mengenai setiap lokaliti yang dikunjungi. Hanya beberapa saja yang dirasakan menarik untuk bacaan ringan. Tapi, ini pun sudah cukup banyak~ =)

Sungai Batu Pahat, Lembah Bujang.

Tempat ini mempunyai batuan Granite yang direjah oleh korok (dyke) batuan Pegmatite (saiz kasar, mineral-mineralnya bersaiz lebih 1cm) berusia Triassic. Pada sentuhan antara kedua-dua jenis batuan (sebelum membeku adalah magma) ini wujud zon terpanggang (baked zone) dan zon terkokol (chill zone). Pemineralan semula mineral tourmaline dapat dilihat dengan jelas.

Dari segi sejarah, tempat ini merupakan pelabuhan dan membangun dengan wujudnya sebuah tempat ibadat. Namun, pelabuhan ini tidak dapat kekal menjadi pelabuhan kerana perubahan fizikal sungai berubah menjadi air terjun yang sesuai menjadi tempat rekreasi saja. Hanya tinggal kesan pahat pada batuan ini saja yang kelihatan.

Kumpulan saya, kumpulan C ketika ini dibimbing oleh Dr Azimah Hussein. =)

Empangan Pedu

Tempat menarik, kali pertama saya menjejakkan kaki ke empangan. Struktur binaan empangan ini diambil dari batuan di bukit (xigt namanya) yang terdiri daripada Formasi Semanggol (Early Permian-Triassic). Batuan yang dapat dilihat di sini ialah batu pasir (sandstone) berselang lapis dengan batu lumpur (mudstone) dan batu konglomerat (sokongan matriks / matrix supported). Jujukan lapisan batuan ini menebal ke atas. Sekitaran pengendapannya pula adalah laut cetek.

Dari jam 9 pagi hingga ke tengah hari kami menapak di sini, mendaki bukit, berpanaskan matahari, bermandikan peluh. Lokaliti kami sepanjang hari berkenaan memerlukan kerahan tenaga dan stamina kerana banyak berjalan. Rasa mahu tercabut kaki..huu. Mama Kumpulan C pada hari berkenaan iaitu Dr Zaiton berusia 50-an masih gagah biar pada riak wajahnya terukir senyuman walaupun lesu.

Bukit Jabi

Tiba di sini pada jam 6.30 petang hari ketiga. Terdapat 2 formasi di sini iaitu Formasi Kubang Pasu dan Formasi Mahang. Formasi Mahang yang lebih tua telah berada di atas Formasi Kubang Pasu kerana wujud sesar songsang (reverse fault) yang dinamakan Sesar Bok Bak.

Gua Kelam

Hujan lebat reda apabila selamat tiba di sini. Lokaliti sebelum Gua Kelam ialah Guar Jentik yang menyebabkan pakaian kami basah kuyup akibat hujan lebat. Biarlah basah pun, asalkan kompas dan nota selamat. Gua Kelam terbentuk akibat zon lemah sesar yang menyebabkan hakisan dan perlarutan semula karbonat berlaku pada batu kapur Formasi Setul ini. Selain stalaktite dan stalagmite, struktur kolam bertingkat, langsir gua, chert nodule juga dapat dilihat dengan jelas. Lebih menarik lagi, terdapat fosil Malayaspira rugosa dan Lytospira rectangularis pada dinding gua.

~dlm gua kelam (cave of darkness)~

Utan Aji

Lokaliti menarik kerana ia merupakan ‘kubur’ bagi hidupan laut cetek berusia awal kapur (Early Devonian) pada lapisan batu lumpur dan batu lodak (shale). Posidonamia Perlisensis (sejenis Bivalvia), Brachiopoda, batang Crinoidia adalah antara yang paling mudah dijumpai. Bagi trilobita, fosil yang paling sempurna dan paling besar bersaiz 7.0cm telah ditemui oleh Ain. Credit to her for the cute trilobite =) Fosil berkenaan disimpan oleh Prof Basir dan akan diletakkan di makmal paleontologi.

Trip to Langkawi!

~di jeti Kuala Perlis~

5.00 petang, hari Rabu 18 November, kami selamat tiba di bilik masing-masing di Hotel Region, Langkawi. Sungguh ku rindukan sangat bumi ini. 2 tahun pengajian di maktab memberikanku seribu pengertian. Tempat aku mengenal erti persahabatan dan pengisian hati seperti usrah dan sebagainya. Lewat petang itu saya dan 5 orang teman rapat keluar ke pasar malam. Selepas menemani mereka bersiar-siar di pekan Kuah, saya dijemput Abang Zafri ke kondominium guru-guru MRSM untuk mengunjungi sepupuku Kak Rina dan anaknya Qistina Mirza yang baru 6 bulan usianya. Macam-macam cerita saya dengar mengenai adik-adik yang masih menuntut di situ. Abang Zafri yang merupakan warden di situ tampak letih memikirkan karenah anak-anak muridnya yang semakin merunsingkan. Bukan mudah untuk membentuk anak-anak.

~bersama Dr. Azimah~

Pantai Pasir Hitam

Kenapa pasir di pantai ini berwarna hitam? hinggakan ia mempengaruhi penamaan tempat ini?

Ada cerita dari penduduk di situ mengatakan dahulu terdapat kapal yang mengangkut bijih timah telah karam berdekatan dengan pantai ini, lalu besi itu pun terenap di pantai. Namun ia bukanlah penjelasan yang tepat. Dari segi geologi umumnya dan mineralogi khususnya, warna hitam itu merupakan mineral tormaline dan ilminite yang berasal dari batuan granite. Hasil luluhawa dan hakisan menyebabkan mineral ini yang berasal dari batu granite terpisah dari perumahnya lalu terenap di pantai ini.

Air Hangat-Durian Perangin

Batuan yang terdapat di sini ialah batu kapur, batu pasir dan batu lodak. Fosil di sini susah untuk di cari jika tidak membawa tukul. Bryozoa banyak ditemui di batu kapur dan batu pasir seperti Polypora sp dan Fenestella sp. Beberapa jenis Brachiopoda juga berjaya ditemui iaitu Sulciplica dan Bandoproductus monticulus. Formasi batuan ini ialah merupakan Formasi Singa yang usianya sama dengan Formasi Kubang Pasu.

Pada hari Jumaat, kami berpeluang untuk bersiar-siar di pulau lagenda yang merupakan batuan tertua di Malaysia. Coklat di pekan Kuah menjadi buruan pada waktu petang dan kemudian, bersiar-siar di Pantai Cenang. Malamnya pula kami menikmati makan malam bersama tenaga pengajar yang sudi meluangkan masa untuk membimbing kami pada kerjalapangan kali ini iaitu- Prof Basir, Prof Juhari, Dr Zaitun dan Dr Azimah. We enjoy great moments with you profs~ (^.^)v

~botol minyak gamat besar di belakang~

Moga dirahmati setelah berhujan, berpanas, berlumpur demi secebis ilmuMu..

~sawah =)~

Published in: on November 26, 2009 at 3:33 pm  Comments (1)  

The URI to TrackBack this entry is: https://cheekylulu.wordpress.com/2009/11/26/jejak-ke-utara/trackback/

RSS feed for comments on this post.

One CommentLeave a comment

  1. salam ukhuwah..

    semoga ilmu dan pengalaman itu berguna dalam kehidupan kita dan dapat diamalkan. insyaALLAH 🙂


Leave a comment