Teknokrat Hizbullah

Definisi teknokrat hizbullah

Maksud teknokrat hizbullah secara dasarnya ialah:
i. teknokrat bermaksud kumpulan manusia yang mempunyai “kepakaran-kepakaran dalam banyak bidang bagi mendokong konsep kepimpinan ulama’… Golongan ini berperanan membantu ulama’ untuk memimpin dan mentadbir…”
ii. hizbullah bermaksud sekumpulan manusia yang mempunyai ciri-ciri yang disebut dalam Ayat 56 surah Al-Maidah dan ayat 22 surah Al-Mujadalah.

Perkara-perkara yang perlu untuk membentuk ‘teknokrat hizbullah’


Usaha membentuk teknokrat hizbullah memerlukan kesungguhan daripada organisasi dan juga daripada individu-individu ahli sendiri. Sekiranya organisasi bekerja keras untuk membentuk tenokrat hizbullah tetapi ahli-ahli tidak menunjukkan kesungguhan, maka usaha yang dijalankan akan gagal. Tidak ada gunanya tenaga dan wang dibelanjakan sekiranya tidak ada kesediaan dalam diri ahli sendiri kerana pada hakikatnya ahlilah yang menentukan kejayaan atau kegagalan tarbiyyah gerakan kita.

Kesungguhan ahli yang tidak ditampung oleh gerak kerja organisasi yang tersusun juga hampir pasti tidak akan berjaya. Proses pembentukan teknokrat hizbullah memerlukan kepada support system yang mantap dan tersusun. Ahli-ahli perlu dipandu ke arah matlamat yang tertentu dan matlamat ini juga perlu ditetapkan oleh organisasi. Sekiranya proses pembentukan diri diserahkan sepenuhnya kepada ahli manakala gerakan pula tidak memberikan bantuan dan halatuju, maka akan lahirlah inidividu-individu ahli yang mempunyai pelbagai bentuk kefahaman dan sikap. Tidak akan wujud wehdatul-fikr dan tidak akan wujud wehdatul-amal.

a. Keperluan dalam diri ahli

Perkara pertama yang perlu ada dalam diri ahli ialah kesungguhan untuk terus memperbaiki diri. Ahli-ahli mestilah bersedia untuk membelanjakan wang dan membanting tenaga dalam usaha menuntut ilmu dan memperbaiki diri. Sekiranya terdapat perkara yang tidak boleh diperolehi daripada gerakan kita secara terus, maka ahli-ahli perlu faham bahawa salah satu tanggungjawab kita ialah untuk “mengembara” ke luar untuk mencari perkara berkenaan. Hakikatnya, terlalu banyak peluang untuk menggali ilmu di sekeliling kita. Seterusnya, ilmu yang diperolehi mestilah juga dipraktiskan secara bersungguh-sungguh. Hanya dengan amalan berterusan sahaja ilmu yang dipelajari akan membawa manfaat. Pada masa yang sama, ahli-ahli mestilah faham bahawa pembentukan teknokrat hizbullah menuntut kepada proses tarbiyyah yang holistik dan berterusan. Ilmu agama bukan semata-mata aqidah, fiqh dan tasawwuf sahaja. Malahan, pengurusan, kepimpinan, pentadbiran kewangan, dan lain-lain adalah sebahagian daripada agama juga. Pembentukan diri yang holistik adalah elemen amat penting dalam usaha melahirkan teknokrat hizbullah.

Perkara kedua yang perlu ada dalam diri ahli ialah kesungguhan untuk mencari atau mencipta peluang untuk memberi sumbangan. Ahli-ahli perlu sedar bahawa salah satu elemen yang paling penting dalam proses pembelajaran ialah latihan amali atau amalan secara praktikal. Maka, sekiranya seseorang telah mempelajari teori-teori berkaitan da’wah atau teori-teori berkaitan pengurusan organisasi, maka tindakan seterusnya ialah mencari peluang untuk menjalankan latihan secara praktikal. Sekiranya gerakan ini tidak memberikan peluang kepada ahli untuk menjalankan latihan amali tersebut, maka ahli perlu tampil ke hadapan dan meminta peluang tersebut daripada gerakan. Sekiranya gerakan tidak dapat memberi peluang tersebut, maka ahli perlu kreatif untuk meneroka peluang yang wujud di luar gerakan ini.

Perkara ketiga yang perlu ada dalam diri ahli ialah kesungguhan untuk terus bersama jamaah. Iltizam dan istiqamah merupakan konsep yang tidak asing bagi kita dan penjelasan mengenainya boleh didapati daripada pelbagai sumber lain. Perlu disebut di sini bahawa ahli-ahli di dalam gerakan ini biasanya boleh berjaya apabila menghadapi ujian kesusahan. Tetapi, ramai yang tidak iltizam dan tidak istiqamah apabila menghadapi ujian kesenangan. Ramai yang kalah apabila mendapat gaji yang tinggi daripada kerja mereka. Ramai yang kalah apabila mereka mula hidup mewah. Mereka yang benar-benar mahu menjadi teknokrat hizbullah perlu faham bahawa iltizam dan istiqamah amat perlu apabila menghadapai kesusahan dan juga kesenangan.

Perkara keempat yang perlu ada dalam diri ahli ialah keberanian untuk mempersoalkan status quo. Dunia sentiasa berubah dan tidak semua perkara yang dilaksanakan pada hari ini akan terus relevan pada hari besok. Ahli falsafah Greek purba memberi sumbangan yang amat besar kepada dunia apabila mereka mula bertanya “kenapa”. Tradisi ini juga perlu diteruskan dalam gerakan kita untuk memastikan kita tidak statik di alam lama. Ahli-ahli juga perlu melatih diri untuk tidak terlalu ‘berlapik’ dalam memberikan idea kerana ada kalanya sifat malu atau ‘baik / sopan tak bertempat’ inilah yang menjadi penghalang kepada perubahan ke arah kebaikan. Dalam banyak keadaan, berterus terang adalah lebih baik daripada berselindung disebalik kalimah ‘bersopan’. Pada waktu yang sama, faktor ini amat berkait dengan perkara kelima.

Perkara kelima yang perlu ada dalam diri ahli ialah kesediaan untuk menerima pandangan dengan dada yang terbuka. Sifat ini amat penting sekiranya ahli-ahli memegang jawatan dalam mana-mana peringkat organisasi. Malahan, ia juga penting jika tidak ada jawatan yang dipegang. Ahli-ahli perlu membiasakan diri menerima teguran secara terbuka dan tanpa ‘berlapik’. Adalah lebih baik jika ahli-ahli melatih diri untuk menyukai pandangan yang tidak ‘berlapik’ kerana pandangan tersebut biasanya adalah lebih jelas dan terang.

b. Keperluan dalam organisasi

Perkara pertama yang perlu ada dalam organisasi ialah matlamat dan strategi yang jelas. Matlamat organisasi kita sebenarnya telah jelas iaitu untuk melahirkan teknokrat hizbullah. Bagaimanapun, masih banyak aspek dalam strategi kita yang boleh diperbaiki dan diperkemaskan. Gerakan ini juga perlulah sentiasa menyemak semula strategi yang telah digariskan untuk memastikan ia sesuai dengan perkembangan semasa.

Perkara kedua yang perlu ada dalam organisasi ialah keupayaan untuk belajar (organizational learning). Gerakan kita telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sejak ia mula ditubuhkan. Bagaimanapun, oleh kerana ahli-ahli gerakan ini sentiasa datang dan pergi, ada kalanya perkara-perkara yang sepatutnya menjadi pengajaran terhadap organisasi secara keseluruhan tinggal pengajaran kepada individu sahaja. Ini adalah kerugian yang amat besar kerana organisasi yang baik ialah organisasi yang tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Perkara ketiga yang perlu ada dalam organisasi ialah kesungguhan meneroka aktiviti-aktiviti yang anjuran persatuan lain yang boleh membantu pencapaian matlamat. Faktor ini amat penting untuk memastikan kejayaan proses tarbiyyah yang holisitik. Gerakan ini tidak wajar membataskan proses tarbiyyah kepada apa yang dilaksanakan oleh kita sendiri sahaja. Tidak mungkin gerakan ini boleh melakukan segala-galanya. Kita perlu melihat juga aktiviti anjuran persatuan lain yang boleh memberi manfaat. Agenda kita juga boleh dicapai dengan melibatkan diri dalam aktiviti anjuran persatuan seperti Hansard Society, Electoral Reform Society, Make Votes Count dan lain-lain.

Perkara keempat yang perlu ada dalam organisasi ialah keterbukaan terhadap idea-idea baru. Dunia sentiasa berubah dan suasana persekitaran juga sentiasa bertukar. Sekiranya strategi gerakan ini tidak berubah mengikut peredaran zaman, maka kita akan tertinggal ditakuk lama. Gerakan ini perlu bersedia untuk mengubah strategi dan sikap sesuai dengan keperluan semasa. Mereka yang dianggap musuh atau persaingan pada tahun 1995 tidak semestinya kekal sebagai musuh dan persaingan pada tahun 2005. Malahan, mungkin lebih baik jika musuh dianggap sebagai mad’u dan persaingan dianggap sebagai partner.

Perkara kelima yang perlu ada dalam organisasi ialah kesungguhan untuk melantik muka-muka baru untuk mengambil alih tanggungjawab kepimpinan. Saff pelapis yang berwibawa amat perlu dibentuk secepat mungkin. Usaha membentuk saff pelapis bukan semata-mata melalui usrah dan tamrin tetapi juga memerlukan empowerment. Muka-muka baru mestilah diberi kepercayaan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan dan mereka yang telah lama memegang amanah, sama ada di tanah air ataupun di sini perlulah berundur apabila telah tiba masanya.

Penutup

Sebagai rumusan, konsep teknokrat hizbullah merupakan satu konsep yang amat relevan dengan keperluan gerakan Islam di tanah air. Matlamat kita untuk membentuk saff teknokrat hizbullah juga adalah satu matlamat yang selaras dengan keperluan di tanah air. Proses pembentukan teknokrat hizbullah memerlukan komitmen daripada ahli dan juga daripada gerakan. Untuk memastikan saff teknokrat hizbullah akan lahir, semua pihak perlukan memainkan peranan masing-masing.

artikel asal : http://wansaiful.com/

syukran kpd al-ukht Hana~~

Published in: on November 7, 2008 at 9:20 am  Comments (1)  

The URI to TrackBack this entry is: https://cheekylulu.wordpress.com/2008/11/07/teknokrat-hizbullah/trackback/

RSS feed for comments on this post.

One CommentLeave a comment

  1. salam.. boleh..boleh.. apa salahnyer..😄


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: